Manusia dilahirkan ke dunia secara langsung mewarisi dua perkara iaitu agama dan adat
resam keluarga. Tanpa disedari sebenarnya
agama dan adat resam adalah kepercayaan yang digenggam utuh oleh setiap
manusia di dalam sesebuah masyarakat.
Agama pada lazimnya adalah satu sistem hubungan antara manusia dan tuhan
yang dipegang oleh sebuah komuniti manusia yang melibatkan kepercayaan,
peribadatan dan tatacara kehidupan. Jika diperkatakan agama secara umum mungkin
boleh diertikan tulisan ini ditujukan
kepada semua agama. Tetapi penulis memfokuskan kepada agama Islam.
Mengapa agama Islam? Kerana pengamal adat resam yang koservetif sering kali berbeza pandangan dengan ahli
agama. Adakah agama Islam tidak ‘mesra’ dengan adat resam? Sehingga dirasakan
sebagai pemusnah adat resam. Menganut agama Islam bererti perlu menukar budaya
dan adat resam, benarkah?
Pelbagai persoalan yang timbul apabila berlaku
pertembungan agama dan adat resam. Sebelum itu, mari kita memahami apa maksud budaya dan adat resam. Budaya merangkumi
maksud yang lebih besar, bahkan agama juga termasuk dalam budaya, selain
daripada nilai, norma, teknologi yang dikongsi dan pengetahuan. Manakala adat
resam lebih menjurus kepada kebiasaan yang diamalkan dalam kehidupan seharian
yang diikuti turun-temurun.
Agama Islam bukanlah menjadi penghalang setiap budaya mengamalkan adat resamnya.
Tetapi Islam sangat menitik beratkan soal penjagaan akidah ( iaitu kepercayaan
kepada Allah ). Kadangkala adat resam
tersebut dimasukkan unsur-unsur yang mempercayai makhluk lain yang lebih
berkuasa berbanding Allah. Sedangkan dalam akidah umat Islam hanya Allah
sahajalah tempat meminta pertolongan dan tempat mengadu. Sepertimana yang
dijelaskan dalam surah al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud:
“
Engkaulah yang kami sembah, dan engkaulah tempat kami meminta pertolongan”.
Kenapa perlu meminta pertolongan dengan hamba Allah seperti menyajikan makanan kepada jin atau orang yang sudah mati. Allah menyeru
manusia meminta terus kepadanya dan tidak perlu melalui hambanya. Selari dengan
firman Allah yang bermaksud bermaksud:
“Mintalah
kepada-Ku, niscaya akan Aku kabulkan.” (QS. Al-Mu’min: 60).
Adalah lebih baik, jika makanan itu disajikan kepada
ahli keluarga atau orang yang memerlukan dengan niat sedekah. Bukankah sedekah
itu mendatangkan manfaat dan terhalang daripada musibah yang sepatutnya
tertimpa kepadanya. Islam mempunyai cara yang lebih baik.
Hal ini yang yang sering mewujudkan perbalahan di
dalam keluarga atau sesebuah masyarakat apabila pengamalan adat resam yang
bertentangan dengan syariat Islam terpaksa dihapuskan. Mungkin ramai ahli
antropologi yang tidak bersetuju, kerana berpendapat adat resam perlu dijaga
sebagai identiti satu-satu etnik. Penulis
juga bersetuju dengan pendapat tersebut.
Ya, perlu diingat bukan keseluruhan adat resam perlu
dihapuskan, tetapi adat resam yang bagaimana yang perlu dikekalkan? Adat resam
tersebut mestilah tidak melanggar hukum dan syariat Islam. Sebagai contoh
daripada kajian penulis mengenai masyarakat Bugis di Tawau, Sabah yang
memasukkan adat resam dalam pengurusan jenazah si mati. Terdapat adat yang tidak boleh diteruskan
kerana bercanggah dengan Islam seperti ahli keluarga melangkah jenazah untuk
mengelakkan terkena ‘badi’ mayat. Perlu dijelaskan di sini , di dalam dalam
Islam orang yang telah meninggalkan dunia tidak dapat memberi kebaikan dan
mudarat kepada orang yang masih hidup. Maka adat tersebut tidak perlu dilakukan
kerana ia tidak memberi apa-apa kesan kepada kehidupan.
Dalam masyarakat Bugis, apabila berlaku kematian
ahli keluarga akan datang ke rumah si mati dengan membawa makanan untuk diberi makan kepada ahli rumah.
Kadangkala keluarga memasak selama
berminggu-minggu atau sehingga berbulan-bulan lamanya. Mereka juga menyedekahkan makanan kepada jiran tetangga
dengan niat pahala sedekah tersebut diberikan kepada si mati. Hal ini sangat
digalakkan dalam Islam. Kerana pada waktu itu keluarga si mati dalam kesedihan
dan tidak perlu sibuk untuk memasak memberi makan ahli keluarga yang bertandang
ke rumah. Mungkin juga jika tuan rumah yang menyediakan makanan dibimbangi
menggunakan harta anak yatim yang belum difaraidkan. Oleh yang demikian adat
ini sangat baik kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim dan kasih sayang
malah ia memberi pahala kepada si mati dan orang yang ditinggalkan.
Tuntasnya, adat resam yang diamalkan perlu difahami
dengan sewajarnya, bukan hanya menjadi ikut-ikutan sehingga tidak menyedari
sesetengah adat resam tidak mempunyai fungsi untuk diteruskan. Hal ini bukan
sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat Bugis, tetapi juga kepada etnik-etnik di
setiap belahan dunia.
Islam agama yang cukup indah jika difahami. Dalami
agama Islam dengan sewajarnya, nescaya manusia boleh memelihara adat resam di
samping mempunyai pegangan agama yang
utuh. Agama bukanlah candu yang menjadi perosak manusia seperti pandangan
segelintir pemikir Sains Sosial Barat. Agama yang di bawa Rasulullah SAW sebagai
herba yang diminum untuk menyembuhkan penyakit dan mencegah manusia daripada
terkena penyakit. Selamat menjaga adat dengan bersyariat!
No comments:
Post a Comment