life is a journey

life is a journey

Saturday, 30 November 2013

Isu Semasa : Kapitalis Dan Keringat Kanak-Kanak Dunia

 Tugasan 
SIW505 Epistemologi dan Tasawur Islam
Siti Nor ‘Ain Binti Mayan 
(P-SM0028/13) 

Pensyarah :
Dr. Mohd Shukri Bin Hanapi
Dr. Fadzila Azni Binti Ahmad




PENDAHULUAN
Artikel ini ditulis bertujuan bagi memenuhi keperluan kursus Epistemologi dan Tasawur Islam. Penulisan ini cuba menganalisis dari sudut Epistemologi dan Tasawur Islam dengan menerangkan perkaitan sistem ekonomi kapitalis terhadap buruh khususnya buruh kanak-kanak, ia membincangkan bagaimana sistem ekonomi ini menyebabkan eksploitasi terhadap buruh kanak-kanak. Kerangka tulisan ini dibahagikan kepada empat bahagian pertama membincangkan mengenai sistem kapitalis, seterusnya  konsep buruh kanak-kanak, epistemologi perkaitan kapitalis dan buruh kanak-kanak serta yang terakhir analisis dari perspektif  tasawur Islam.

Berbicara mengenai pengurusan sistem ekonomi dewasa ini, sememangnya dunia tidak asing lagi dengan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini memberikan  dampak  negatif kepada kehidupan manusia kerana ia mengukur tahap pencapaian ekonomi berdasarkan ukuran kebendaan semata-mata. Monopoli golongan kaya, kemiskinan, inflasi, pengangguran, rasuah, eksploitasi buruh termasuk buruh kanak-kanak antara kesan yang dibincangkan oleh ilmuan Islam dalam membicarakan ekonomi kapitalis di dalam buku mereka antaranya Budiman Rodi (1964), Labib (1986), Dedi Haryadi & Indrasari (1995) dan KH. Abdullah Zaky Al-kaaf (2002). 

Kanak-kanak pula didefinisikan di dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun. Hal ini bermakna mana-mana manusia yang dibawah umur 18 tahun di upah untuk bekerja sama ada secara formal atau tidak formal ia termasuk dalam kalangan buruh kanak-kanak. 

Sistem Kapitalis
Menurut KH. Abdullah Zaky Al-kaaf (2002) sistem kapitalis sebenarnya adalah model ekonomi dari negara Barat yang dipelopori oleh  Adam Smith (1723- 1790)  dalam bukunya The Wealth Of Nations yang menjelaskan kapitalis adalah satu sistem ekonomi bebas dengan menggunakan sumber-sumber ekonomi yang terdiri daripada buruh, tanah dan modal untuk mengembangkan ekonomi tanpa campur tangan kerajaan. Keadaan ini menyebabkan ekonomi berkembang bebas tanpa sekatan daripada mana-mana pihak.

Kebebasan penggunaan sumber-sumber ekonomi bermatlamatkan untuk memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan modal yang dikatakan untuk memenuhi keperluan manusia yang tidak terhad dengan sumber-sumber pengeluaran yang terhad menyebabkan individu berusaha memonopoli sumber. Individu yang kuat dan dapat memonopoli sumber ekonomi ia dilihat sebagai orang yang berjaya mengumpul kekayaan. Hal ini menyebabkan masalah eksploitasi sumber berlaku, termasuklah  terhadap buruh.

Konsep Buruh Kanak-Kanak
Sebelum menerangkan secara khusus  mengenai hubungan kapitalis dan buruh kanak-kanak, penulis akan menerangkan konsep buruh kanak–kanak berdasarkan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada konvokesyen No. 138 mengkategorikan buruh kanak-kanak kepada tiga bahagian iaitu:
                                                Sumber : Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)

Sebagaimana digambarkan daripada rajah, kerja berbahaya adalah subkategori buruh kanak-kanak dan buruh kanak-kanak pula subkategori kanak-kanak dalam pekerjaan. Oleh yang demikian kanak–kanak dalam pekerjaan meliputi takrifan yang luas iaitu kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti ekonomi untuk sekurang-kurangnya satu jam. Pekerjaan yang dilakukan secara rasmi atau tidak rasmi serta menerima sebarang gaji dalam bentuk wang atau barangan.

Buruh kanak-kanak pula didefinisikan sebagai kanak-kanak yang bekerja dibawah umur minimum yang dibenarkan. Kebiasannya mereka terikat dengan jam kerja daripada pekerjaan yang mudah sehingga ke pekerjaan yang amat berat. Manakala kerja-kerja yang merbahaya ditakrifkan sebagai apa-apa aktiviti atau pekerjaan membawa kepada kesan buruk kepada keselamatan, kesihatan dan pembangunan moral kanak-kanak.

Secara umum para sarjana dan penyelidik tetap menggunakan perkataan ‘buruh kanak-kanak’ dalam membicarakan ketiga-tiga konsep tersebut.  Perkataan ini juga digunakan oleh ILO untuk membicarakan buruh kanak-kanak secara umum tetapi bukan merujuk kepada konsep buruh kanak-kanak tersebut. Begitu juga di dalam artikel ini, penulis masih menggunakan perkataan buruh kanak-kanak secara umum manakala dari segi konsep pula penulis hanya menggunakan konsep buruh kanak-kanak dan kerja bahaya yang dilakukan oleh buruh kanak-kanak kerana dilihat ia selari dengan takrifan konsep yang diberikan oleh ILO dengan keterlibatan kanak-kanak dalam sektor perkilangan pada abad ke-19 semasa kemuncak perkembangan  kapitalis.

Epistemologi Perkaitan Kapitalis dan Buruh Kanak-Kanak
Buruh kanak-kanak sejarahnya panjang, mungkin sama tuanya dengan kemuncak kapitalis semasa revolusi perindustrian di Eropah satu ketika dahulu. Bagaimana buruh kanak-kanak ini  boleh terlibat dengan sistem ekonomi kapitalis? Kewujudan buruh kanak-kanak dalam ekonomi kapitalis sangat ketara  bermula semasa perkembangan revolusi perindustrian di Eropah pada tahun 1780 hingga 1840an iaitu pada zaman Renaissance

Merujuk kepada sebuah artikel yang ditulis oleh Odyssey Bordoloi (2013) yang membincangkan perihal sejarah perkembangan buruh kanak-kanak, hampir 60% kanak-kanak berkerja sebagai tenaga buruh di kilang tekstil England dan Scotland pada abad ke-19. Pada awal revolusi perindustrian kanak-kanak hanya di upah untuk pekerjaan yang ringan sahaja seperti menjual makanan, menjual bunga, mengilap kasut dan menjadi pelayan di restoran.  

Kemudian apabila ekonomi Eropah berkembang pesat, kilang mulai banyak didirikan untuk memenuhi permintaan pelanggan maka pertambahan kepada tenaga buruh meningkat. Kanak-kanak mula diupah untuk bekerja di kilang tekstil dengan mengendalikan mesin-mesin besar, menjadi pengutip kapas di ladang dan menajahit kain.

Eksploitasi buruh kanak-kanak bermula apabila pihak majikan mengerah tenaga kanak-kanak dengan upah yang murah dan tidak memadai dengan kerja mereka memandangkan kanak-kanak merupakan golongan yang patuh dan mudah dikawal . (Budiman Rodi, 1964).

Pada pendapat penulis eksploitasi bukan sahaja melibatkan lebihan masa bekerja dan upah yang murah  malahan melibatkan aspek psikologi kanak- kanak yang terpaksa melakukan kerja-kerja golongan dewasa di usia muda. Perasaan tertekan disebabkan penyakit dan kecacatan kekal[1] yang terpaksa diterima oleh kanak-kanak ini menunjukkan keadaan operasi kilang yang tidak menjamin keselamatan mereka sebagai buruh kanak-kanak pada masa itu. Golongan majikan hanya mengambil kesempatan kepada kanak-kanak atas dasar keuntungan dan tidak menjaga kebajikan pekerja kerana yang pertama, buruh kanak-kanak tidak mempunyai kesatuan sekerja yang boleh membela mereka apabila mengahadapi eksploitasi oleh majikan seperti buruh dewasa yang lain dan yang kedua, konsep kapitalis itu sendiri yang menjadikan buruh sebagai mahluk ekonomi yang perlu diamanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan produktiviti dalam usaha mengumpul harta kekayaan.

Hari ini pada abad ke-21 masalah eksploitasi buruh kanak-kanak bukan sahaja melibatkan negara-negara di Eropah tetapi termasuk juga di Afrika dan Asia disebabkan dengan penjajahan Eropah untuk melebarkan kuasa dan pengaruh pada zaman imperialis, mereka membawa slogan God, Gospel and Gold dengan slogan ini idea kapitalis  mula tersebar ke serata dunia.

Rekod yang diberikan oleh ILO di dapati hampir 160 juta kanak-kanak terlibat sebagai buruh di seluruh dunia  dan 115 juta terlibat dalam pekerjaan bahaya. Contohnya di negara India mencatatkan antara 2007 hingga tahun 2009 , 5392 kes melibatkan eksploitasi terhadap buruh kanak-kanak, hanya enam kes yang dibicarakan mengikut undang-undang. ( The Times of India, Edisi  Kolkata , Isnin, 25 Januari, 2010)

Hal ini menunjukkan dengan jelas melalui perkembangan ekonomi kapitalis ke seluruh dunia menyebabkan ia juga membawa masalah-masalah yang sedia wujud dari Eropah ke seluruh dunia termasuk masalah eksploitasi buruh kanak-kanak. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci, penulis menyertakan jadual yang dilaporkan oleh ILO mengenai kanak-kanak yang di upah sebagai buruh di kawasan-kawasana tertentu dunia pada tahun 2012. 
  
Kanak-kanak dalam pekerjaan, buruh kanak-kanak dan pekerjaan berisiko mengikut kawasan dibawah kumpulan umur 5-17 tahun, 2012
*Kawasan
(‘000)              
  %
(‘000)               
 %
(‘000)                 
%
Asia Pasifik
129, 358   
 (15.5 %)
77, 723         
 (9.3%)
33,860           
 (4.1%)
Amerika Latin
17,843         (12.5%)
12,505           
(8.8%)
9,638               (6.8%)
Afrika
83,570         (30.3%)
59,031         (21.4%)
28,767         
 (10.4%)
Timur tengah  dan Afika Utara
13,307         (12.1%)
9,244              (8.4%)
5,224              
(4.7%)

Nota:  (*) kawasan ini tidak meliputi kawasan keseluruhan negara-negara dunia kerana negara-negara tersebut termasuk di luar empat  kawasan utama yang dilaporkan dengan  ILO.
Sumber : Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)


Merujuk kepada jadual,  negara di benua Asia mencatatkan kawasan tertinggi yang dilaporkan mengupah kanak-kanak sebagai buruh, diikuti dikawasan Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah. Jika dilihat negara-negara yang berada di kawasan tersebut terdiri daripada negara-negara membangun dan mundur[2] serta mempunyai ekonomi yang kurang stabil. Hal ini berkait rapat dengan sistem ekonomi dunia yang menyebabkan negara-negara di dunia dibahagikan di dalam kelas-kelas tertentu mengikut perkembangan ekonomi.[3] Sehubungan dengan itu, negara-negara maju mengambil kesempatan terhadap negara-negara ini melalui syarikat multinasionalnya yang memilih untuk menggunakan buruh kanak-kanak di negara-negara membangun dan mundur kerana upah yang murah, kemiskinan dan tahap kesedaran yang rendah daripada ibu bapa terhadap eksploitasi majikan kepada buruh kanak-kanak. Maka tidak hairanlah eksploitasi buruh kanak-kanak banyak dilaporkan di negara-negara sedang membangun dan mundur.


Sehubungan dengan itu, dalam menangani masalah eksploitasi buruh kanak-kanak yang kian merebak, pada 12 Jun tahun lepas Presiden Amerika Syarikat pelopor ekonomi kapitalis dunia memberi janji dengan membelanjakan $60 juta untuk penghapusan masalah buruh kanak-kanak ketika meraikan Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia. Jika diteliti masalah ini menjadi semakin rumit kerana masalah pokok dalam sistem ekonomi kapitalis itu sendiri tidak diperbaiki jadi agak sukar untuk menghapuskan masalah ranting seperti buruh kanak-kanak ini walaupun berjuta-juta dollar duit dihabiskan untuk memperuntukkan penghapusan masalah ini.  Selagi pandangan sarwa Barat melihat manusia hanya sebagai mahluk ekonomi yang boleh digunakan untuk mendapatkan keuntungan maka penghapusan secara total buruh kanak-kanak akan gagal dicapai seperti yang diharapkan oleh ILO pada tahun 2016.


Kapitalis dan Buruh Kanak-Kanak dalam Tasawur Islam
Dalam tasawur Islam ekonomi adalah sebahagian daripada agama. Pelaku-pelaku di dalam ekonomi adalah manusia, manusia mempunyai hubungan dengan Allah (habluminallah) iaitu manusia adalah hamba Allah manakala dalam konteks hubungan manusia dengan manusia dan sumber alam (habluminannas) , manusia adalah khalifah Allah s.w.t  yang menjalankan ekonomi mengikut hukum yang ditetapkan Allah (Muhammad Syukri, 2003). Konsep ekonomi kapitalis sememangnya bercanggah dengan ajaran dan prinsip Islam kerana ia hanya mengutamakan pengumpulan harta tanpa memikirkan soal hak manusia, hak alam sekitar dan lebih utama tanggungjawab mereka sebagai hamba kepada tuhan.

Oleh yang demikian, agama Islam mengutamakan keadilan dan kasih sayang  yang berteraskan iman dan takwa berdasarkan hubungan dengan Allah, manusia dan sumber alam.  Begitu juga halnya hubungan majikan dengan buruh (habluminannas), agama ini tetap memberikan rahmatnya terhadap buruh kanak-kanak dan Rasulullah s.a.w telah menjanjikan dengan sebuah rumah khas di dalam syurga bagi orang-orang yang dapat memberikan rasa keseronokan kepada buruh kanak-kanak ( Labib, tahun 1986).

Namun demikian Islam melarang buruh kanak-kanak dieksploitasi berdasarkan Kitab al-Fatawa al-Hindiyyah ketika mengulas tentang perbuatan memukul buruh kanak-kanak telah menyebut: “adalah tidak harus bagi seorang pemodal memukul seorang buruh kanak-kanak”. Oleh itu kanak-kanak perlulah dilayan dengan sebaiknya walaupun dia merupakan buruh yang mungkin tidak melakukan kerja-kerja yang penting dan besar.

Islam tidak melarang perburuhan kanak-kanak selagi syarat-syarat dan prinsip Islam dipatuhi. Contohnya seperti memberi upah yang setimpal kepada buruh kanak-kanak, memberi pekerjaan yang sesuai mengikut kemampuannya,  meminta izin penjaga kanak-kanak tersebut untuk bekerja, boleh membatalkan perjanjian kontrak kerja ketika mencapai umur baligh, tidak boleh dipertangungjawabkan ke atas kerosakan barangan semasa dalam tempoh pekerjaan dan sebagainya.

Pada hemat penulis berdasarkan realiti dunia hari ini yang didominasi sistem ekonomi kapitalis, buruh kanak-kanak adalah satu masalah yang tidak dapat dielakkan kerana faktor kemiskinan atau kanak-kanak yang hilang pergantungan disebabkan yatim. Walaubagaimanapun, Islam bukanlah menggalakkan perburuhan kanak-kanak, kerana Islam telah menetapkan hak kanak-kanak yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa atau penjaganya. Islam juga telah menggariskan penjagaan anak adalah amanah kepada ibu bapa, mereka pula tidak boleh mengambil kesempatan di atas keharusan perburuhan kanak-kanak di dalam Islam dengan melepaskan tangungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan rasa tangungjawab.
  

KESIMPULAN
Kesimpulannya, sistem ekonomi kapitalis sangat berhubungkait dengan buruh kanak-kanak yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah sampingan daripada sistem yang matlamatnya untuk mendapat kekayaan semata-mata. Islam meletakkan satu garis panduan kepada majikan untuk dipatuhi dan natijahnya berbalik kepada balasan pahala atau dosa.  Di sebalik kesan tersebut manusia akan berusaha untuk taat dan patuh suruhan agama supaya memberi kesan yang baik pada kehidupan selepas mati. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan manusia iaitu majikan akan memenuhi keperluan pekerja selaras dengan syariat Islam. Islam tidak mengharamkan kanak-kanak di upah sebagai buruh tetapi bukanlah Islam menggalakkan perburuhan kanak-kanak. Islam menggariskan panduan  penjagaan kanak-kanak dalam Islam dengan baik supaya tiada seorangpun kanak-kanak boleh di eksploitasi sama ada mereka menjadi buruh atau tidak.  Islam bukan hanya satu agama tapi satu cara hidup yang membawa manusia kembali kepada fitrah kehidupan yang baik. Jika Karl Marx mengatakan agama sebagai candu , Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w ini sebagai herba yang diminum bukan ketika sakit tetapi untuk mengekalkan kesihatan dan menjadi penawar kepada ketagih candu.
“Katakanlah : Sesungguhnya petunujuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk, dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada tuhan semesta alam.” (surah al-An’am , 6:71)



[1]  Laporan Ahli Jawatankuasa Sadler mengenai Buruh          Kanak-kanak 1831-1832   dalam buku Capitalism and the Historians , 1963

[2]  Kawasan Asia tidak termasuk negara maju seperti Singapura dan Jepun

[3]  Pembahagian negara-negara di dunia mengikut kelas tertentu di dalam Syarahan Perdana Pembangunan dan   Kesejahteraan (Agenda Kemanusiaan Abad Ke – 21) oleh Abdul Rahman Embong ,2003. 


  
Bibliografi
1.Abdul Rahman Embong(2003).Syarahan Perdana Jawatan Profesor Universiti Kebangsaan  Malaysia: Pembangunan dan   Kesejahteraan (Agenda Kemanusiaan Abad Ke – 21).Selangor.Universiti kebangsaan Malaysia.
2.Budiman Rodi (1964).Buruh dalam Islam.Kelantan.Pustaka Aman.
3.Dedi Haryadi & Indrasari (1995).Buruh anak dan dinamika industri kecil.Bandung.  Yayasan Akatiga.
4.Hayek (1963).Capitalism and the Historians.Amerika.First Phoenix.
5.Labib (1986).Pekerjaan dan kaum buruh.Kaherah.Hizbi.
6.KH. Abdullah Zaky Al Kaaf (2002).Ekonomi dalam perspektif Islam.Bandung. C.V Pustaka Setia.
7.Muhammad Syukri Salleh(2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam.Kuala Lumpur.Zebra Edition Sdn. Bhd.
8.Marking progress against child labour.diakses pada 25 Oktober 2013 daripada http://www.ilo.org/ipec/Informationresources/WCMS_221513/lang--en/index.htm
9.  Kanak-kanak diekspoitasi untuk buruh murah di seluruh dunia.diakses pada 25 Oktober 2013 daripada http://bahasa.malaysia.usembassy.gov/root/pdfs/americagovbm_childlabor-061510.pdf
10. ILO says global number of child labourers down by a third since 2000.diakses pada 25 Oktober 2013 daripada http://www.ilo.org/global/about-the-ilo/newsroom/news/WCMS_ 221568/lang--en/index.htm
11.Gambar buruh kanak-kanak di Eropah.diakses pada 25 Oktober 2013 daripada http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=666989
12.Odyssey Bordoloi. Origin and Causes of Child Labour and its Possible Solutions.diakses pada 25 oktober 2013 daripada http://www.lawyersclubindia.com/articles/Origin-and-Causes-of-Child-Labour-and-its-Possible-Solutions-3194.asp
13.Ricky.Sejarah Kapitalis.diakses pada 25 Oktober 2013 daripada http://reeqhelicious.wordpress.com/2008/04/12/sejarah-kapitalisme/


  

No comments:

Post a Comment