life is a journey

life is a journey

Tuesday 18 November 2014

PSEUDO INTELEKTUAL -SVW 502


PENDAHULUAN
Kemajuan sistem pendidikan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan masyarakat yang berilmu. Malahan ada yang diiktiraf sebagai pakar dalam pelbagai bidang. Jika direnung beruntungnya manusia pada masa kini kerana pastinya dunia hari ini lebih baik daripada sudut agama, sosial, politik dan ekonomi disebabkan terdapat pertambahan orang yang berilmu di dalam masyarakat. Negara Malaysia sahaja telah menghasilkan seramai 1,120,874 orang graduan dalam pelbagai bidang pada tahun 2006 hingga 2011, (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014).  Malahan mengikut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia jumlah graduan menunjukkan peningkatan yang positif pada setiap tahun, iaitu dari 132,899 orang graduan pada tahun 2006 kepada 236,453 graduan pada tahun 2011.


  Keluaran Keseluruhan Graduan Mengikut Peringkat Pengajian, 2006 hingga 2011                                                                   
                                                       Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (2014)

Rajah menunjukkan keluaran keluaran keseluruhan graduan mengikut peringkat pengajian tahun 2006 hingga 2011. Jumlah graduan merangkumi ijazah pertama (512, 860) diploma (391,338), sijil (118, 477), sarjana (26, 304) dan doktor falsafah (6,229). Selain itu, graduan peringkat lain yang terdiri daripada diploma lepasan ijazah, diploma lanjutan, sijil dan profesional (65, 666) yang menjadikan keseluruhan graduan berjumlah 1,120,874 orang (Kementerian Pendidikan Malaysia (2014). 

Melalui statistik yang diberikan pastinya rakyat berbangga dengan pencapaian ilmu masyarakat Malaysia. Mereka mengharapkan para graduan yang mewakili orang yang berilmu mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat. Namun peningkatan kadar orang yang berilmu tidak menyebabkan pengurangan masalah dalam masyarakat malahan bertambah. Laporan akhbar pada 5 Mac 2014 menunjukkan kes jenayah di Kuala Lumpur sahaja melonjak 20 000 kes dalam tempoh 60 hari (Sinar Harian, 2014). Hal ini memperlihatkan betapa serius ‘penyakit’ dalam masyarakat. Namun golongan ilmuan yang dianggap kudus, berintegriti, berakhlak tinggi serta boleh dipercayai (Mohamed Yusoff Ismail, 2011) dan diharapkan memberi ‘ubat’ kepada masyarakat juga turut terjebak dengan pelbagai masalah.

Pseudo intelektual yang dimaksudkan dalam artikel ini mengkhusus kepada golongan ilmuan yang terlibat secara langsung dalam bidang akademik. Golongan ilmuan yang terlibat dalam dunia akademik mempunyai jenayahnya yang tersendiri. Menurut Mohamed Yusoff Ismail (2011) jenayah yang sinonim dilakukan seperti plagiat, tidak telus dalam penulisan dan penerbitan serta mengupah penyelidik lain menjalankan kajian.  Terdapat juga pembelian sijil palsu yang menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (Sinar Harian, 2012).

Menariknya jenayah sebegini bukanlah jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu,  berleluasalah jenayah akademik dalam kalangan ilmuwan. Jenayah akademik yang dilakukan akan melahirkan pseudo intelektual yang memberi ‘penyakit’ kepada masyarakat. Dalam mendepani golongan ini maka wujudlah satu isitlah yang dikenali sebagai pseudo intelektual.

APA ITU PSEUDO INTELEKTUAL?
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) istilah pseudo intelektual dari sudut bahasa iaitu pseudo bermaksud palsu dan intelektual bermaksud cerdik pandai, golongan terpelajar dan cendekiawan. Maka pseudo intelektual bermaksud cerdik pandai, golongan terpelajar atau cendekiawan palsu. Manakala menurut Endargo (2007) dan Mcclay (2002) pseudo intelektual hanya menyampaikan idea dan berhujah untuk mendapatkan populariti. Video yang dilakonkan oleh Ditimus (2013) dapat menerangkan secara jelas mengenai ciri-ciri pseudo intelektual ini.


Dalam video tersebut pseudo intelektual juga dapat dicirikan sebagai seorang intelektual yang berhujah atas fakta orang lain. Tidak memahami hujah atau idea yang disampaikan, berlagak mengetahui sesuatu perbincangan, protes bila idea dan hujah ditolak. Ia mendapatkan ilmu dengan matlamat untuk kepentingan diri dan material.

Ciri-ciri pseudo intelektual juga turut diterjemahkan dalam filem hindustan yang bertajuk 3 Idiots. Filem ini mengisahkan tiga orang sahabat karib yang belajar di kampus kejuruteraan. Pengarah menonjolkan watak utama iaitu Rancho yang menggunakan ilmu kejuruteraan untuk membantu masyarakat, berbanding watak pseudo intelektual yang dinamakan Chatur atau digelar Silencer yang hanya menghafal ilmu, mendapatkan kerja yang baik serta berpegang pada prinsip faktor penentu kejayaan diukur melalui tingkat material yang diperoleh hasil daripada ilmu yang dipelajari.  Ringkasnya, pseudo intelektual ialah golongan cerdik pandai yang berhujah untuk mencari populariti, bermatlamatkan material, mengambil hujah orang lain, tidak memahami ilmu yang disampaikan dan sukar menerima idea baru dan kritikan.  Apakah penyelesaian daripada masalah ini?


INTELEKTUAL DAN PEMBANGUNAN INSAN
Pembangunan insan bermaksud proses pendidikan manusia terhadap aspek fizikal dan spiritual (Bey Ariffin,1980)[1] supaya digunakan bersesuaian dengan fungsinya yang akhirnya memberi sumbangan kepada agama dan masyarakat (Muhammad Nubli Abdul Wahab, 2007). Menurut Mahbub ul-Haq[2] (1995) pembangunan insan melibatkan diri manusia sebagai ejen pembangunan. Oleh yang demikian pembangunan insan melibatkan manusia itu sendiri yang terdiri daripada aspek fizikal dan spiritual. Pembangunan aspek ini akan meningkatkan fungsi manusia untuk memberi kebaikan kepada agama dan masyarakat.

Berhubung dengan isu pseudo intelektual, pembangunan insaniah dari dalam diri para intelektual ialah perkara utama untuk meningkatkan fungsi menjadi intektual yang tulen. Aspek spiritual akan melahirkan aspek fizikal yang akan terjelma dari sudut perbuatan dan tingkah laku. Perbuatan dan tingkah laku baik (mahmudah) atau (mazmumah) berkait rapat dengan aspek spiritual tersebut. Bersesuaian dengan sabda rasulullah SAW bermaksud;

Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini ialah hati." (Riwayat Muslim)
Hati merupakan organ fizikal dalam tubuh yang tersimpan aspek spiritual iaitu iman dan nafsu. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) iman dan nafsu mempunyai tingkat tertentu dan ia berkadar langsung antara satu sama lain.

                Tingkat Iman dan Nafsu
  
IMAN
NAFSU
Haqiqat
Kamilah
Haq
Mardhiyyah
Ayan
Radhiyah
Mutmainnah
Ilmu
Mulhamah
Taqlid
Lawwamah
Ammarah

 








Jika iman diperingkat taqlid dan ilmu pastinya nafsu juga berada di tingkat rendah iaitu ammarah, lawwamah dan mulhamah, maka pada peringkat ini sifat mazmumah akan terserlah daripada tingkah laku manusia. Pseudo intelektual salah satu contoh yang berkait dengan iman dan nafsu yang berada di tingkat rendah. Manakala jika memilik iman ayan, haq dan haqiqat maka nafsu juga berada di tahap mutmainnah, radhiyah, mardhiyyah dan kamilah. Pada peringkat ini manusia berusaha untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang dipamerkan melalui sifat mahmudah. Ia akan berfungsi sebagai intelektual sebenar yang bertanggungjawab dalam pengembangan bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan pendakwah kepada agama (Azhar Ibrahim Alwee, 2005).

Namun tingkat iman dan nafsu yang tinggi dan baik ini perlu dijaga bagi mengelakkan manusia terjerumus kepada tingkat iman dan nafsu yang rendah. Penjagaan tingkat iman dan nafsu ini boleh dilakukan melalui penyucian jiwa (tazkiyatunnafs) . Penyucian jiwa dapat merubah manusia daripada tingkat iman dan nafsu yang rendah kepada tingkat iman dan nafsu yang tinggi dan baik. Menurut Fadzila Azni Ahmad (2013), nafsu didisiplinkan melalui penyucian jiwa. Terdapat tiga proses untuk menyucikan jiwa iaitu takhalli, tahalli dan tajali.  

Pertama mendidik nafsu (tarbiyatunnafs) iaitu takhalli, proses mengosongkan diri daripada sifat mazmumah seperti tidak berintegriti, sombong, membangga diri, cepat marah,  materialistik dan seumpamanya. Kemudian bermujahadah (mujahadatunnafs) dengan menjalankan proses tahalli mengisi jiwa dengan sifat-sifat mahmudah. Pada masa itu manusia tersebut memiliki iman ayan dan nafsu mutmainnah yang dituntut dalam Islam (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Maka lahirlah intelektual yang soleh, berakhlak mulia serta mampu memberi sumbangan untuk mensejahterakan masyarakat. Setelah melalui dua proses tersebut iaitu takhalli dan tahalli maka wujudlah perasaan kehambaan yang disebut tajali.  Perasaan kehambaan ini disebut (radhiyatunnafs) jiwa yang diredai. Ringkasanya untuk menjadikan manusia sebagai intelektual tulen perlu menjalani proses tazkiyatunnafs dalam kerangka pembangunan insan. 

Kesimpulan
Pembangunan insan merupakan aspek yang amat penting dalam meningkatkan fungsi manusia. Manusia berfungsi sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi. Dalam menjalankan fungsi ini penerapan nilai takwa melalui peningkatan martabat iman dan nafsu yang baik amat penting bagi melahirkan manusia yang mempunyai sifat-sifat mahmudah. Sifat inilah yang memandu manusia untuk mencapai matlamat hidup iaitu keredaan Allah. Begitulah juga dengan golongan intelektual. Intelektual tulen, mampu ‘mendignosis’ penyakit masayarakat lalu memberikan ‘penawar’ yang terbaik kepada masyarakat. Intelektual tulen bukan hanya menyelesaikan tugasan kerja formalnya, tetapi turut terlibat dalam membangun masyarakat. Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud:

“Sebaik-baik manusia daripada kamu yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain “ (Riwayat Bukhari ) .
Ia mempunyai akhlak terpuji, menjadi contoh, panduan dan rujukan masyarakat dalam menyelesaikan masalah kehidupan di dunia untuk kesejahteraan akhirat. Intelektual sebegini jauh daripada sifat mazmumah iaitu kepura-puraan ataupun palsu.  


Rujukan

Abdul Jalil Borham (2011). Memperkasa Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pembangunan Insan. Dalam Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin  & Jamal Rizal Razali (Eds). Modal Insan (27-50). Pahang: Universiti Malaysia Pahang. 

Azhar Ibrahim Alwee (2005). Pergerakan Intelektual Dunia Islam Kontemporari Persaingan Idea dan Cabarannya. Singapura: Institut Pendidikan Nasional.

Ditimus, Alexender (2013). Pseudo Intellectual . Diakses dari https://www.youtube com/watch?v=RTPaGOs56Q8 pada 16 November 2014.

Domanator, Da (2014) 3 Idiots. Diakses dari https://www.youtube.com/watch?v= UjAHl4Iv3NE  pada 16 November 2014.

Endargo (2007). Pseudo Intellectual. Diakses dari http://www.urbandictionary.com/ bdefine.php?term=pseudo-intellectual- pada 16 November 2014.  
      
Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haryati Syafii, Sharifah Meryam Shareh Musa & Zakila Abd Rahman (2011). Pembangunan Modal Insan dan Kualiti Hidup Masyarakat.  Dalam Abd Jalil Borham & Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin (Eds). Mengangkasa Modal Insan Isu dan Cabaran (167-180). Pahang: Universiti Malaysia Pahang.

Mcclay, Wilfred.M (2002). Pseudo Intellectual. New York. Oxford University Press.

Mohamed Yusoff Ismail (2011). Integriti Dalam Dunia Akademik. Diakses dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia& sec=Rencana&pg=re_10.htm#ixzz3J0RMt5uD pada 17 November 2014.

Muhammad Nubli Abdul Wahab (2011).Proses Pembangunan Modal Insan. Dalam Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin  & Jamal Rizal Razali (Eds). Modal Insan (13-24). Pahang: Universiti Malaysia Pahang.

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2014). Trend Keluaran dan Status Pekerjaan Graduan. Diakses dari http://graduan.moe.gov.my/skpgreport/Penerbitan/Skpg%202011/3Tren %20Keluaran%20Dan%20Status%20Pekerjaan%20Graduan%202006%20-%202011 .Pdf- pada 16 November 2014.

Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses dari http://prpm.dbp.gov.my/ https://www.youtube.com/watch?v=UjAHl4Iv3NE-  pada 16 November 2014. 

Sinar Harian (2014). Jenayah Melonjak 20 000 kes dalam 60 hari. Diakses dari http://www.Sinar harian.com.my/semasa/jenayah-melonjak-20-000-kes-dalam-60-hari-1.257252 pada 16 November 2014.

Sinar Harian (2012) Ijazah Palsu. Diakses dari http://www.sinarharian.com.my/ijazah-palsu-lahir-graduan-palsu-1.67043 pada 16 November 2014.












[1] Dipetik oleh Abdul Jalil Borham (2011), kertas kerja bertajuk Memperkasa Pendidikan Kebangsaan dalam Pembangunan Insan.  

[2] Dipetik oleh Haryati Syafii, Sharifah Meryam Shareh Musa dan Zakila Abd Rahman (2011) , kertas k erja bertajuk Pembangunan Modal Insan dan Kualiti Hidup Masyarakat.  

Wednesday 17 September 2014

Nampak sama tapi bukan dia : Qadi al-qudat, Ombudsman dan Biro Pengaduan Awam Malaysia

Setelah 14 tahun negara Malaysia mencapai kemerdekaan  Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia mengumumkan penubuhan Biro Pengaduan Awam (BPA) yang  diletakkan hari ini di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sejarah penubuhan BPA bermula daripada perkembangan konsep Ombudsman. Konsep ini bertitik tolak dari konsep asas qadi al-qudat  yang digunakan pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab (634-644) dan diteruskan sehingga selepas  pemerintahan Khualafa’ al-Rasyidin[1] dengan kerajaan-kerajaan Islam iaitu di bawah empayar Umaiyyah, Abbasyiah dan Turki Uthmaniyyah. Semasa peperangan antara negara Sweden dan Rusia yang di sebut sebagai ‘The Great Northern War’ (1700–1721), Raja Charles XII telah mengalami kekalahan dan kemudiannya melarikan diri ke Turki semasa pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah. Semasa dalam buangan di Turki,  Raja Charles XII pada ketika itu tertarik dengan konsep qadi al-qudat tersebut kemudian kembali ke Sweden bagi menubuhkan satu badan kerajaan yang mengawal tingkah laku pegawai untuk meningkatkan integriti penjawat awam yang dinamakan Ombudsman.  (Pope, J.; 2000, Mariteuw Chimère Diaw; 2008, Faculty Ombudsman, University of Michigan & Ombudsman City of Toronto).


Ombudsman merupakan satu jawatankuasa perundangan bagi menyiasat aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada pihak kerajaan. Ia terdiri daripada orang yang berwibawa dan berpengalaman dalam berbincang untuk menyelesaikan ketidakpuashatian rakyat terhadap kerajaan. Ombudsman berfungsi secara tersendiri dan tidak bergantung kepada orang lain. Oleh yang demikian ia tidak melibatkan peguam-peguam kerana ia berfungsi seperti ‘complaint’s lawyer’  (K. Ramanathan, 1993).

Namun begitu, konsep ini benar-benar dipraktikkan dan ditubuhkan jabatan yang mengelolakannya pada tahun 1809. Lebih dari satu abad konsep ini berada di Parlimen Sweden dan tidak berkembang. Finland negara yang pertama meniru model yang berkonsepkan Ombudsman ini selepas 111 tahun kemudian, dan ia mengambil masa 34 tahun lagi sebelum negara seterusnya Denmark ikut serta. New Zealand dan Norway menyertai satu dekad kemudian. Selepas 150 tahun pada tahun 1960an hanya lima negara sahaja yang menubuhkan Ombudsman yang dikenali sebagai negara-negara Scandinavian.

Menurut Bloom-Cooper (1968) apabila konsep ini semakin kukuh di negara-negara Eropah maka ia seterusnya tersebar di serata dunia khususnya di negara-negara komanwel iaitu negara-negara yang pernah berada di bawah jajahan British. Setakat ini 150 buah negara telah  menubuhkan institusi berkonsepkan Ombudsman di negara masing-masing termasuk Malaysia yang menubuhkan BPA.

Tujuan penubuhan BPA adalah bagi mewujudkan satu saluran untuk membolehkan orang ramai mengemukakan kesulitan mereka semasa berurusan dengan agensi kerajaan. Ia berfungsi sebagai badan pengawas kepada institusi awam.  Oleh yang demikian rakyat boleh membuat pengaduan awam di institusi berkenaan atas salah laku penjawat awam semasa bertugas.


Menurut  K.Ramanathan  (1993) Sir Guy Powles gagal mengutarakan idea Ombudsman di negara Malaysia kerana negara ini  mempunyai masyarakat majmuk kerana dikhuatiri aduan-aduan yang bebas akan melibatkan hal sensiviti kaum, kedua sistem sosial dan politik Malaysia yang tersendiri dan alasan ketiga Ombudsman hanya berkesan di negara-negara kesatuan (unitary state) seperti Perancis dan Britain yang mempunyai kuasa berpusat terhadap wilayah-wilayah di bawah pemerintahannya. Tidak seperti Malaysia membentuk negara menggunakan sistem ‘federal state’  dengan mempersekutukan 13 buah negeri lainnya. 

Hujah yang diutarakan oleh K.Ramanathan mungkin dari sudut operasi kerana negara-negara kesatuan mempunyai wilayah yang luas, undang-undang dan suasana politik yang bebas dan tersendiri. Oleh yang demikian konsep Ombudsman lebih bebas diamalkan dan sesuai dengan sistem pemerintahan di Eropah. Manakala di Malaysia konsep Ombudsman mungkin disesuaikan oleh budaya  dan suasana politik di Malaysia yang menyebabkan operasi urus tadbir BPA tidak menyamai sepenuhnya dengan Ombudsman.

Namun jika ditinjau dari sudut  falsafah BPA masih lagi meniru dan mengambil idea daripada konsep Ombudsman. Mengapa pengkaji mengatakan negara Malaysia menggunakan konsep ini? Hujah yang pertama Malaysia pernah dijajah oleh British dan konsep ini telah tersebar di negara-negara komanwel, negara-negara dunia ketiga mempunyai kesedaran untuk menubuhkan badan bebas seperti Ombudsman sebagai tempat aduan rakyat. Kedua  sistem pemerintahan negara Malaysia  yang  meniru sistem berparlimen di England iaitu dari sistem Westminster[2] (Abdullah Sanusi, 1987).  Maka falsafah pentadbiran Barat sememangnya berakar umbi di bawah pentadbiran Malaysia walaupun penjajahan telah berakhir.

Ketiga dari segi sorotan sejarah menurut Abdul Rahman Embong (2003) mengatakan negara-negara yang dijajah berasa takjub dengan negara yang menjajah menyebabkan pemimpin di negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan menjadikan model negara yang menjajah itu untuk ditiru dengan harapan  mereka juga akan membangun dan maju seperti negara yang menjajah . Hal ini menunjukkan dalam rangka untuk memajukan negara pada kadar yang cepat, maka negara yang baru merdeka ketiadaan model untuk diguna pakai bagi membina satu sistem pentadbiran, ekonomi dan sosial lalu mengambil jalan pintas dengan meniru model yang diguna pakai oleh negara yang menjajah. Selain itu, pada pendapat pengkaji penjajah telah meninggalkan model yang digunakan di Barat untuk diteruskan di tanah jajahan, maka pemimpin meneruskan model tersebut dengan melakukan sedikit pengubahsuaian supaya serasi dengan budaya tempatan.

Maka hal ini begitu jelas  dari sudut penubuhan BPA telah meniru konsep Ombudsman dari Barat yang  asasnya diambil  daripada konsep qadi al-qudat. Walaupun pada hakikatnya dari sudut operasi konsep Ombudsman dan qadi-al-qudat berbeza, tetapi ianya masih lagi berkongsi konsep asas yang sama.

Walaupun BPA bukanlah satu institusi berteraskan Islam, tetapi adalah sangat rugi jika negara yang mempunyai umat Islam yang ramai seperti Malaysia tidak mengaplikasikan mekanisme ini yang secara jelas terbukti keberkesanannya semasa zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab.






[1]Khulafa’ al-Rasyidin ialah gelaran kepada sahabat nabi yang menjadi khalifah (pemimpin) dan memimpin umat Islam selepas kewafatan nabi Muhammad SAW. Khulafa’ al-Rasyidin terdiri daripada empat orang iaitu khalifah pertama Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Usman bin Affan dan yang keempat Saidina Ali bin Abi Talib.
4Westminster Abbey ialah nama tempat parlimen orang Inggeris sejak berkurun-kurun lamanya sehingga  sekarang. Kebanyakan negara komanwel sekarang mengamalkan kerajaan demokrasi ala westmister ini.  Tetapi bukan keseluruhan aspek sistem demokrasi yang  ingin ditiru. 

Dari Dapur Rumah Sewa : Shushi Ikut Tekak Malaysia Adohaii

Nie  langkah-langkah menggulung shushi, mudahkan?
Boleh diolah dengan pelbagai bentuk, supaya menarik, tertarik yang penting rasanaya
kebabommmm



Asal-usul  aku tau resepi nie daripada rakan rumah sewa. Nama ringkas kami  geng Sg Ara (Lynn, Diha dan Aku) ini kumpulan kongsi tak berapa gelap kekeke, tapi telah dibubarkan setelah masuk asrama USM. Ok balik kepada shushi, kemudian shushi nie diolah sikit supaya ikut selera tekak kami. Ramai rakyat Malaysia yang tak suka shushi sebab rasanya tidak sedap. Opkos la orang Malaysia nak makan ikut tekak Jepun, memang la tak sedap.  Ramai tanya camna nak buat, nah aku abadikan kat sini. 

Cara membuatnya simple

1) Masak dulu lauk shushi- telur goreng dadar, isi ketam goreng@ rebus, isi ayam potong dadu dan tumis ikut selera, aku masak cilipadi al -maklumlah semua hantu cili kat rumah:).
2) Masak nasi. Ada dua pilihan nak beli nasi shushi terus masak atau beras biasa campur dengan beras pulut (anggaran 1 gelas beras biasa, setengah gelas beras pulut) . Masa masak nasi tu campur sekali garam, gula dan cuka.  Ikut sesedap rasa korang.
3) Rumpai laut boleh beli kat supermarket jenama bibigo sedap yang penting ada cop halal JAKIM.
4) Kemudian sediakan bamboo tempat mengulung shushi( jangan curi lapik meja bamboo mak korang plak) ^^.
5) Letakkan rumpai laut, ratakan nasi kat atasnya, masukkan lauk dan gulung hingga padat. Potong2 .
6) Cicah dengan sos teryaki, ok orang malaysia cakap 'kicap masin'. Wasabi kami sambal kering jawa fuhh memang menyegat :)


Tips
*Semasa masak nasi,lebihkan air sedikit biar lembik2, senang nak ratakan di atas rumpai laut.
*Lepas nasi dah masak, biarkan dalam 15 minit , lepas tu terus gulung, jangan teralu panas,  nanti   rosak rumpai laut , tapi jangan plak dah sejuk susah nak ratakan kat atas rumpai. 
*Inti shushi ikut suka hati nak letak satu jenis lauk pun boleh, tiada masalah.


Arigatou gozaimasu
Mata aimashou ^_^

Tuesday 16 September 2014

Dari Dapur Mak Aku 3. Pizza Segi Empat Adohaii


Homemade Pizza.. tiba2 rasa rajin nak buat..sapa nak cuba, cubalah, sapa tak nak cuba boleh beli sendiri..kalau takde duit dok diam2 depan laptop.. berdoa, agar Allah datangkn seseorang utk belanja makan pizza 

cara-cara membuat pizza.. sebelum tu panjangkan dagu ke depan sikit amik feel :p  yang paling mudah search kat link My Resipi kat situ banyak di tunjukkn cara2 nak wat pizza. tapi pizza nie aku buat ikut suka  aku jadi ada yang tambah dan ada yang aku tolak bahan2nya ikut selera aku. Ok jom masak oiii..

*Bahan A*

500 g tepung roti 
• 12 g garam 
• 8 g yeast 
• 16 ml olive oil (atau minyak sayuran) 
• 250 ml air suam



*Topping*

•tomato puri 
• topping pizza (ikut suka hati contoh - ayam,sosej,daging olives, chillie pickles, nenas, tomato, etc)
• Keju cheddar @ mozarella


1)Masukkn suma bahan A kat atas dan uli hingaa sebati.kalau ada breadmaker senang                campak je dalam mangkuk. kalau tiada guna tangan pun boleh.. (nak rasa air tangan tu             cewahh, sila potong kuku ye,air kuku orang tak nak rase ok)  lepas tu biarkn dalam sebiji           mangkuk,rehatkn jap doh tu dlm 15 minit. Lepas tu letakkan doh yg telah diuli atas dulang         pembakar.



2) Sapu kan permukaan doh dgn tomato puri.tomato puri tak tumis dulu takpe, tapi kalau yang      mudah sakit perut tumis la.Topping atas pizza tu ikut la nak letak apa2pun terpulang pada          selera masing2. 



3) Paling penting keju mesti ada..cheddar atau mozarela boleh belake. tabur kat atas.



4) Bakar dalam oven dengan suhu 200 deg C selama 12-15 minit atau sehingga dough                masak dan cheese telah cair.



Akhir skali keluarkn pizza dalam oven.. siap dimakan ketika panas. duduk ,baca doa makan dan makan dengan bergaya Cewahhh :)