life is a journey

life is a journey

Tuesday, 18 November 2014

PSEUDO INTELEKTUAL -SVW 502


PENDAHULUAN
Kemajuan sistem pendidikan sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan masyarakat yang berilmu. Malahan ada yang diiktiraf sebagai pakar dalam pelbagai bidang. Jika direnung beruntungnya manusia pada masa kini kerana pastinya dunia hari ini lebih baik daripada sudut agama, sosial, politik dan ekonomi disebabkan terdapat pertambahan orang yang berilmu di dalam masyarakat. Negara Malaysia sahaja telah menghasilkan seramai 1,120,874 orang graduan dalam pelbagai bidang pada tahun 2006 hingga 2011, (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014).  Malahan mengikut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia jumlah graduan menunjukkan peningkatan yang positif pada setiap tahun, iaitu dari 132,899 orang graduan pada tahun 2006 kepada 236,453 graduan pada tahun 2011.


  Keluaran Keseluruhan Graduan Mengikut Peringkat Pengajian, 2006 hingga 2011                                                                   
                                                       Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (2014)

Rajah menunjukkan keluaran keluaran keseluruhan graduan mengikut peringkat pengajian tahun 2006 hingga 2011. Jumlah graduan merangkumi ijazah pertama (512, 860) diploma (391,338), sijil (118, 477), sarjana (26, 304) dan doktor falsafah (6,229). Selain itu, graduan peringkat lain yang terdiri daripada diploma lepasan ijazah, diploma lanjutan, sijil dan profesional (65, 666) yang menjadikan keseluruhan graduan berjumlah 1,120,874 orang (Kementerian Pendidikan Malaysia (2014). 

Melalui statistik yang diberikan pastinya rakyat berbangga dengan pencapaian ilmu masyarakat Malaysia. Mereka mengharapkan para graduan yang mewakili orang yang berilmu mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat. Namun peningkatan kadar orang yang berilmu tidak menyebabkan pengurangan masalah dalam masyarakat malahan bertambah. Laporan akhbar pada 5 Mac 2014 menunjukkan kes jenayah di Kuala Lumpur sahaja melonjak 20 000 kes dalam tempoh 60 hari (Sinar Harian, 2014). Hal ini memperlihatkan betapa serius ‘penyakit’ dalam masyarakat. Namun golongan ilmuan yang dianggap kudus, berintegriti, berakhlak tinggi serta boleh dipercayai (Mohamed Yusoff Ismail, 2011) dan diharapkan memberi ‘ubat’ kepada masyarakat juga turut terjebak dengan pelbagai masalah.

Pseudo intelektual yang dimaksudkan dalam artikel ini mengkhusus kepada golongan ilmuan yang terlibat secara langsung dalam bidang akademik. Golongan ilmuan yang terlibat dalam dunia akademik mempunyai jenayahnya yang tersendiri. Menurut Mohamed Yusoff Ismail (2011) jenayah yang sinonim dilakukan seperti plagiat, tidak telus dalam penulisan dan penerbitan serta mengupah penyelidik lain menjalankan kajian.  Terdapat juga pembelian sijil palsu yang menggunakan nama Universiti Sains Malaysia (Sinar Harian, 2012).

Menariknya jenayah sebegini bukanlah jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. Oleh itu,  berleluasalah jenayah akademik dalam kalangan ilmuwan. Jenayah akademik yang dilakukan akan melahirkan pseudo intelektual yang memberi ‘penyakit’ kepada masyarakat. Dalam mendepani golongan ini maka wujudlah satu isitlah yang dikenali sebagai pseudo intelektual.

APA ITU PSEUDO INTELEKTUAL?
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) istilah pseudo intelektual dari sudut bahasa iaitu pseudo bermaksud palsu dan intelektual bermaksud cerdik pandai, golongan terpelajar dan cendekiawan. Maka pseudo intelektual bermaksud cerdik pandai, golongan terpelajar atau cendekiawan palsu. Manakala menurut Endargo (2007) dan Mcclay (2002) pseudo intelektual hanya menyampaikan idea dan berhujah untuk mendapatkan populariti. Video yang dilakonkan oleh Ditimus (2013) dapat menerangkan secara jelas mengenai ciri-ciri pseudo intelektual ini.


Dalam video tersebut pseudo intelektual juga dapat dicirikan sebagai seorang intelektual yang berhujah atas fakta orang lain. Tidak memahami hujah atau idea yang disampaikan, berlagak mengetahui sesuatu perbincangan, protes bila idea dan hujah ditolak. Ia mendapatkan ilmu dengan matlamat untuk kepentingan diri dan material.

Ciri-ciri pseudo intelektual juga turut diterjemahkan dalam filem hindustan yang bertajuk 3 Idiots. Filem ini mengisahkan tiga orang sahabat karib yang belajar di kampus kejuruteraan. Pengarah menonjolkan watak utama iaitu Rancho yang menggunakan ilmu kejuruteraan untuk membantu masyarakat, berbanding watak pseudo intelektual yang dinamakan Chatur atau digelar Silencer yang hanya menghafal ilmu, mendapatkan kerja yang baik serta berpegang pada prinsip faktor penentu kejayaan diukur melalui tingkat material yang diperoleh hasil daripada ilmu yang dipelajari.  Ringkasnya, pseudo intelektual ialah golongan cerdik pandai yang berhujah untuk mencari populariti, bermatlamatkan material, mengambil hujah orang lain, tidak memahami ilmu yang disampaikan dan sukar menerima idea baru dan kritikan.  Apakah penyelesaian daripada masalah ini?


INTELEKTUAL DAN PEMBANGUNAN INSAN
Pembangunan insan bermaksud proses pendidikan manusia terhadap aspek fizikal dan spiritual (Bey Ariffin,1980)[1] supaya digunakan bersesuaian dengan fungsinya yang akhirnya memberi sumbangan kepada agama dan masyarakat (Muhammad Nubli Abdul Wahab, 2007). Menurut Mahbub ul-Haq[2] (1995) pembangunan insan melibatkan diri manusia sebagai ejen pembangunan. Oleh yang demikian pembangunan insan melibatkan manusia itu sendiri yang terdiri daripada aspek fizikal dan spiritual. Pembangunan aspek ini akan meningkatkan fungsi manusia untuk memberi kebaikan kepada agama dan masyarakat.

Berhubung dengan isu pseudo intelektual, pembangunan insaniah dari dalam diri para intelektual ialah perkara utama untuk meningkatkan fungsi menjadi intektual yang tulen. Aspek spiritual akan melahirkan aspek fizikal yang akan terjelma dari sudut perbuatan dan tingkah laku. Perbuatan dan tingkah laku baik (mahmudah) atau (mazmumah) berkait rapat dengan aspek spiritual tersebut. Bersesuaian dengan sabda rasulullah SAW bermaksud;

Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini ialah hati." (Riwayat Muslim)
Hati merupakan organ fizikal dalam tubuh yang tersimpan aspek spiritual iaitu iman dan nafsu. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) iman dan nafsu mempunyai tingkat tertentu dan ia berkadar langsung antara satu sama lain.

                Tingkat Iman dan Nafsu
  
IMAN
NAFSU
Haqiqat
Kamilah
Haq
Mardhiyyah
Ayan
Radhiyah
Mutmainnah
Ilmu
Mulhamah
Taqlid
Lawwamah
Ammarah

 








Jika iman diperingkat taqlid dan ilmu pastinya nafsu juga berada di tingkat rendah iaitu ammarah, lawwamah dan mulhamah, maka pada peringkat ini sifat mazmumah akan terserlah daripada tingkah laku manusia. Pseudo intelektual salah satu contoh yang berkait dengan iman dan nafsu yang berada di tingkat rendah. Manakala jika memilik iman ayan, haq dan haqiqat maka nafsu juga berada di tahap mutmainnah, radhiyah, mardhiyyah dan kamilah. Pada peringkat ini manusia berusaha untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang dipamerkan melalui sifat mahmudah. Ia akan berfungsi sebagai intelektual sebenar yang bertanggungjawab dalam pengembangan bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan pendakwah kepada agama (Azhar Ibrahim Alwee, 2005).

Namun tingkat iman dan nafsu yang tinggi dan baik ini perlu dijaga bagi mengelakkan manusia terjerumus kepada tingkat iman dan nafsu yang rendah. Penjagaan tingkat iman dan nafsu ini boleh dilakukan melalui penyucian jiwa (tazkiyatunnafs) . Penyucian jiwa dapat merubah manusia daripada tingkat iman dan nafsu yang rendah kepada tingkat iman dan nafsu yang tinggi dan baik. Menurut Fadzila Azni Ahmad (2013), nafsu didisiplinkan melalui penyucian jiwa. Terdapat tiga proses untuk menyucikan jiwa iaitu takhalli, tahalli dan tajali.  

Pertama mendidik nafsu (tarbiyatunnafs) iaitu takhalli, proses mengosongkan diri daripada sifat mazmumah seperti tidak berintegriti, sombong, membangga diri, cepat marah,  materialistik dan seumpamanya. Kemudian bermujahadah (mujahadatunnafs) dengan menjalankan proses tahalli mengisi jiwa dengan sifat-sifat mahmudah. Pada masa itu manusia tersebut memiliki iman ayan dan nafsu mutmainnah yang dituntut dalam Islam (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Maka lahirlah intelektual yang soleh, berakhlak mulia serta mampu memberi sumbangan untuk mensejahterakan masyarakat. Setelah melalui dua proses tersebut iaitu takhalli dan tahalli maka wujudlah perasaan kehambaan yang disebut tajali.  Perasaan kehambaan ini disebut (radhiyatunnafs) jiwa yang diredai. Ringkasanya untuk menjadikan manusia sebagai intelektual tulen perlu menjalani proses tazkiyatunnafs dalam kerangka pembangunan insan. 

Kesimpulan
Pembangunan insan merupakan aspek yang amat penting dalam meningkatkan fungsi manusia. Manusia berfungsi sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di atas muka bumi. Dalam menjalankan fungsi ini penerapan nilai takwa melalui peningkatan martabat iman dan nafsu yang baik amat penting bagi melahirkan manusia yang mempunyai sifat-sifat mahmudah. Sifat inilah yang memandu manusia untuk mencapai matlamat hidup iaitu keredaan Allah. Begitulah juga dengan golongan intelektual. Intelektual tulen, mampu ‘mendignosis’ penyakit masayarakat lalu memberikan ‘penawar’ yang terbaik kepada masyarakat. Intelektual tulen bukan hanya menyelesaikan tugasan kerja formalnya, tetapi turut terlibat dalam membangun masyarakat. Bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud:

“Sebaik-baik manusia daripada kamu yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain “ (Riwayat Bukhari ) .
Ia mempunyai akhlak terpuji, menjadi contoh, panduan dan rujukan masyarakat dalam menyelesaikan masalah kehidupan di dunia untuk kesejahteraan akhirat. Intelektual sebegini jauh daripada sifat mazmumah iaitu kepura-puraan ataupun palsu.  


Rujukan

Abdul Jalil Borham (2011). Memperkasa Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Pembangunan Insan. Dalam Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin  & Jamal Rizal Razali (Eds). Modal Insan (27-50). Pahang: Universiti Malaysia Pahang. 

Azhar Ibrahim Alwee (2005). Pergerakan Intelektual Dunia Islam Kontemporari Persaingan Idea dan Cabarannya. Singapura: Institut Pendidikan Nasional.

Ditimus, Alexender (2013). Pseudo Intellectual . Diakses dari https://www.youtube com/watch?v=RTPaGOs56Q8 pada 16 November 2014.

Domanator, Da (2014) 3 Idiots. Diakses dari https://www.youtube.com/watch?v= UjAHl4Iv3NE  pada 16 November 2014.

Endargo (2007). Pseudo Intellectual. Diakses dari http://www.urbandictionary.com/ bdefine.php?term=pseudo-intellectual- pada 16 November 2014.  
      
Fadzila Azni Ahmad (2013). Konsep Pengurusan Institusi Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haryati Syafii, Sharifah Meryam Shareh Musa & Zakila Abd Rahman (2011). Pembangunan Modal Insan dan Kualiti Hidup Masyarakat.  Dalam Abd Jalil Borham & Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin (Eds). Mengangkasa Modal Insan Isu dan Cabaran (167-180). Pahang: Universiti Malaysia Pahang.

Mcclay, Wilfred.M (2002). Pseudo Intellectual. New York. Oxford University Press.

Mohamed Yusoff Ismail (2011). Integriti Dalam Dunia Akademik. Diakses dari http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia& sec=Rencana&pg=re_10.htm#ixzz3J0RMt5uD pada 17 November 2014.

Muhammad Nubli Abdul Wahab (2011).Proses Pembangunan Modal Insan. Dalam Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin  & Jamal Rizal Razali (Eds). Modal Insan (13-24). Pahang: Universiti Malaysia Pahang.

Muhammad Syukri Salleh (2003). Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2014). Trend Keluaran dan Status Pekerjaan Graduan. Diakses dari http://graduan.moe.gov.my/skpgreport/Penerbitan/Skpg%202011/3Tren %20Keluaran%20Dan%20Status%20Pekerjaan%20Graduan%202006%20-%202011 .Pdf- pada 16 November 2014.

Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses dari http://prpm.dbp.gov.my/ https://www.youtube.com/watch?v=UjAHl4Iv3NE-  pada 16 November 2014. 

Sinar Harian (2014). Jenayah Melonjak 20 000 kes dalam 60 hari. Diakses dari http://www.Sinar harian.com.my/semasa/jenayah-melonjak-20-000-kes-dalam-60-hari-1.257252 pada 16 November 2014.

Sinar Harian (2012) Ijazah Palsu. Diakses dari http://www.sinarharian.com.my/ijazah-palsu-lahir-graduan-palsu-1.67043 pada 16 November 2014.












[1] Dipetik oleh Abdul Jalil Borham (2011), kertas kerja bertajuk Memperkasa Pendidikan Kebangsaan dalam Pembangunan Insan.  

[2] Dipetik oleh Haryati Syafii, Sharifah Meryam Shareh Musa dan Zakila Abd Rahman (2011) , kertas k erja bertajuk Pembangunan Modal Insan dan Kualiti Hidup Masyarakat.  

No comments:

Post a Comment