Setelah 14 tahun negara Malaysia
mencapai kemerdekaan Allahyarham Tun
Abdul Razak Bin Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia mengumumkan penubuhan Biro
Pengaduan Awam (BPA) yang diletakkan
hari ini di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sejarah penubuhan BPA bermula
daripada perkembangan konsep Ombudsman. Konsep
ini bertitik tolak dari konsep asas qadi
al-qudat yang
digunakan pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab (634-644) dan
diteruskan sehingga selepas pemerintahan
Khualafa’ al-Rasyidin[1]
dengan kerajaan-kerajaan Islam iaitu di bawah empayar Umaiyyah, Abbasyiah dan
Turki Uthmaniyyah. Semasa peperangan antara negara Sweden dan Rusia yang di
sebut sebagai ‘The Great Northern War’ (1700–1721),
Raja Charles XII telah mengalami kekalahan dan kemudiannya melarikan diri ke
Turki semasa pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah. Semasa dalam buangan di
Turki, Raja Charles XII pada ketika itu
tertarik dengan konsep qadi
al-qudat tersebut kemudian kembali ke Sweden bagi
menubuhkan satu badan kerajaan yang mengawal tingkah laku pegawai untuk
meningkatkan integriti penjawat awam yang dinamakan Ombudsman. (Pope, J.; 2000,
Mariteuw Chimère Diaw; 2008, Faculty Ombudsman, University of Michigan &
Ombudsman City of Toronto).
Ombudsman
merupakan satu jawatankuasa perundangan bagi
menyiasat aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada pihak kerajaan. Ia
terdiri daripada orang yang berwibawa dan berpengalaman dalam berbincang untuk
menyelesaikan ketidakpuashatian rakyat terhadap kerajaan. Ombudsman berfungsi secara tersendiri dan tidak bergantung kepada
orang lain. Oleh yang demikian ia tidak melibatkan peguam-peguam kerana ia
berfungsi seperti ‘complaint’s lawyer’ (K. Ramanathan, 1993).
Namun begitu, konsep ini
benar-benar dipraktikkan dan ditubuhkan jabatan yang mengelolakannya pada tahun
1809. Lebih dari satu abad konsep ini berada di Parlimen Sweden dan tidak
berkembang. Finland negara yang pertama meniru model yang berkonsepkan Ombudsman ini selepas 111 tahun
kemudian, dan ia mengambil masa 34 tahun lagi sebelum negara seterusnya Denmark
ikut serta. New Zealand dan Norway menyertai satu dekad kemudian. Selepas 150
tahun pada tahun 1960an hanya lima negara sahaja yang menubuhkan Ombudsman yang dikenali sebagai
negara-negara Scandinavian.
Menurut Bloom-Cooper (1968) apabila
konsep ini semakin kukuh di negara-negara Eropah maka ia seterusnya tersebar di
serata dunia khususnya di negara-negara komanwel
iaitu negara-negara yang pernah berada di bawah jajahan British. Setakat ini
150 buah negara telah menubuhkan
institusi berkonsepkan Ombudsman di
negara masing-masing termasuk Malaysia yang menubuhkan BPA.
Tujuan penubuhan BPA adalah bagi
mewujudkan satu saluran untuk membolehkan orang ramai mengemukakan kesulitan
mereka semasa berurusan dengan agensi kerajaan. Ia berfungsi sebagai badan
pengawas kepada institusi awam. Oleh
yang demikian rakyat boleh membuat pengaduan awam di institusi berkenaan atas
salah laku penjawat awam semasa bertugas.
Menurut K.Ramanathan
(1993) Sir Guy Powles gagal mengutarakan idea Ombudsman di negara Malaysia kerana negara ini mempunyai masyarakat majmuk kerana dikhuatiri
aduan-aduan yang bebas akan melibatkan hal sensiviti kaum, kedua sistem sosial
dan politik Malaysia yang tersendiri dan alasan ketiga Ombudsman hanya berkesan di negara-negara kesatuan (unitary state) seperti Perancis dan
Britain yang mempunyai kuasa berpusat terhadap wilayah-wilayah di bawah
pemerintahannya. Tidak seperti Malaysia membentuk negara menggunakan sistem ‘federal state’ dengan mempersekutukan 13 buah negeri
lainnya.
Hujah yang diutarakan oleh
K.Ramanathan mungkin dari sudut operasi kerana negara-negara kesatuan mempunyai
wilayah yang luas, undang-undang dan suasana politik yang bebas dan tersendiri.
Oleh yang demikian konsep Ombudsman
lebih bebas diamalkan dan sesuai dengan sistem pemerintahan di Eropah. Manakala
di Malaysia konsep Ombudsman mungkin
disesuaikan oleh budaya dan suasana
politik di Malaysia yang menyebabkan operasi urus tadbir BPA tidak menyamai
sepenuhnya dengan Ombudsman.
Namun jika ditinjau dari sudut falsafah BPA masih lagi meniru dan mengambil
idea daripada konsep Ombudsman.
Mengapa pengkaji mengatakan negara Malaysia menggunakan konsep ini? Hujah yang
pertama Malaysia pernah dijajah oleh British dan konsep ini telah tersebar di
negara-negara komanwel, negara-negara
dunia ketiga mempunyai kesedaran untuk menubuhkan badan bebas seperti Ombudsman sebagai tempat aduan rakyat.
Kedua sistem pemerintahan negara
Malaysia yang meniru sistem berparlimen di England iaitu
dari sistem Westminster[2]
(Abdullah Sanusi, 1987). Maka falsafah
pentadbiran Barat sememangnya berakar umbi di bawah pentadbiran Malaysia
walaupun penjajahan telah berakhir.
Ketiga dari segi sorotan sejarah
menurut Abdul Rahman Embong (2003) mengatakan negara-negara yang dijajah berasa
takjub dengan negara yang menjajah menyebabkan pemimpin di negara-negara yang
baru mencapai kemerdekaan menjadikan model negara yang menjajah itu untuk
ditiru dengan harapan mereka juga akan
membangun dan maju seperti negara yang menjajah . Hal ini menunjukkan dalam
rangka untuk memajukan negara pada kadar yang cepat, maka negara yang baru
merdeka ketiadaan model untuk diguna pakai bagi membina satu sistem
pentadbiran, ekonomi dan sosial lalu mengambil jalan pintas dengan meniru model
yang diguna pakai oleh negara yang menjajah. Selain itu, pada pendapat pengkaji
penjajah telah meninggalkan model yang digunakan di Barat untuk diteruskan di
tanah jajahan, maka pemimpin meneruskan model tersebut dengan melakukan sedikit
pengubahsuaian supaya serasi dengan budaya tempatan.
Maka hal ini begitu jelas dari sudut penubuhan BPA telah meniru konsep Ombudsman dari Barat yang asasnya diambil daripada konsep qadi al-qudat.
Walaupun pada hakikatnya dari sudut operasi konsep Ombudsman dan qadi-al-qudat
berbeza, tetapi ianya masih lagi berkongsi konsep asas yang sama.
Walaupun BPA bukanlah satu
institusi berteraskan Islam, tetapi adalah sangat rugi jika negara yang
mempunyai umat Islam yang ramai seperti Malaysia tidak mengaplikasikan mekanisme
ini yang secara jelas terbukti keberkesanannya semasa zaman pemerintahan
Saidina Umar al-Khattab.
[1]Khulafa’
al-Rasyidin ialah gelaran kepada sahabat nabi yang menjadi khalifah (pemimpin)
dan memimpin umat Islam selepas kewafatan nabi Muhammad SAW. Khulafa’
al-Rasyidin terdiri daripada empat orang iaitu khalifah pertama Saidina Abu
Bakar al-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Usman bin Affan dan yang
keempat Saidina Ali bin Abi Talib.