Tugasan
SIW505 Epistemologi dan Tasawur Islam
Siti Nor ‘Ain Binti Mayan
(P-SM0028/13)
Pensyarah :
Dr. Mohd Shukri Bin Hanapi
Dr. Fadzila Azni Binti Ahmad
PENDAHULUAN
Artikel
ini ditulis bertujuan bagi memenuhi keperluan kursus Epistemologi dan Tasawur
Islam. Penulisan ini cuba menganalisis dari sudut Epistemologi dan Tasawur
Islam dengan menerangkan perkaitan sistem ekonomi kapitalis terhadap buruh
khususnya buruh kanak-kanak, ia membincangkan bagaimana sistem ekonomi ini menyebabkan
eksploitasi terhadap buruh kanak-kanak. Kerangka tulisan ini dibahagikan kepada
empat bahagian pertama membincangkan mengenai sistem kapitalis, seterusnya konsep buruh kanak-kanak, epistemologi perkaitan
kapitalis dan buruh kanak-kanak serta yang terakhir analisis dari perspektif tasawur Islam.
Berbicara
mengenai pengurusan sistem ekonomi dewasa ini, sememangnya dunia tidak
asing lagi dengan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini memberikan dampak
negatif kepada kehidupan manusia kerana ia mengukur tahap pencapaian
ekonomi berdasarkan ukuran kebendaan semata-mata. Monopoli golongan kaya,
kemiskinan, inflasi, pengangguran, rasuah, eksploitasi buruh termasuk buruh
kanak-kanak antara kesan yang dibincangkan oleh ilmuan Islam dalam membicarakan
ekonomi kapitalis di dalam buku mereka antaranya
Budiman Rodi (1964), Labib (1986), Dedi Haryadi & Indrasari (1995) dan KH.
Abdullah Zaky Al-kaaf (2002).
Kanak-kanak pula didefinisikan di dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun. Hal ini bermakna mana-mana manusia yang dibawah umur 18 tahun di upah untuk bekerja sama ada secara formal atau tidak formal ia termasuk dalam kalangan buruh kanak-kanak.
Sistem Kapitalis
Menurut
KH. Abdullah Zaky Al-kaaf (2002) sistem kapitalis sebenarnya adalah model
ekonomi dari negara Barat yang dipelopori oleh Adam Smith (1723- 1790) dalam bukunya The Wealth Of Nations
yang menjelaskan kapitalis adalah satu sistem
ekonomi bebas dengan menggunakan
sumber-sumber ekonomi yang terdiri daripada buruh, tanah dan modal untuk
mengembangkan ekonomi tanpa campur tangan kerajaan. Keadaan ini menyebabkan
ekonomi berkembang bebas tanpa sekatan daripada mana-mana pihak.
Kebebasan
penggunaan sumber-sumber ekonomi bermatlamatkan untuk memaksimumkan keuntungan
dan meminimumkan modal yang dikatakan untuk memenuhi keperluan manusia yang
tidak terhad dengan sumber-sumber pengeluaran yang terhad menyebabkan individu berusaha
memonopoli sumber. Individu yang kuat dan dapat memonopoli sumber ekonomi ia
dilihat sebagai orang yang berjaya mengumpul kekayaan. Hal ini menyebabkan masalah
eksploitasi sumber berlaku, termasuklah
terhadap buruh.
Konsep Buruh Kanak-Kanak
Sebelum menerangkan secara khusus mengenai hubungan kapitalis dan buruh
kanak-kanak, penulis akan menerangkan konsep buruh kanak–kanak berdasarkan
Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Pertubuhan
Buruh Antarabangsa (ILO) pada konvokesyen No. 138 mengkategorikan buruh
kanak-kanak kepada tiga bahagian iaitu:
 |
Sumber
: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)
|
Sebagaimana digambarkan daripada rajah, kerja
berbahaya adalah subkategori buruh kanak-kanak dan buruh kanak-kanak pula subkategori
kanak-kanak dalam pekerjaan.
Oleh yang demikian kanak–kanak dalam pekerjaan meliputi takrifan yang luas
iaitu kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti ekonomi untuk sekurang-kurangnya
satu jam. Pekerjaan yang dilakukan secara rasmi atau tidak rasmi serta menerima
sebarang gaji dalam bentuk wang atau barangan.
Buruh kanak-kanak pula didefinisikan sebagai
kanak-kanak yang bekerja dibawah umur minimum yang dibenarkan. Kebiasannya
mereka terikat dengan jam kerja daripada pekerjaan yang mudah sehingga ke
pekerjaan yang amat berat. Manakala kerja-kerja yang merbahaya ditakrifkan
sebagai apa-apa aktiviti atau pekerjaan membawa kepada kesan buruk kepada
keselamatan, kesihatan dan pembangunan moral kanak-kanak.
Secara
umum para sarjana dan penyelidik tetap menggunakan perkataan ‘buruh
kanak-kanak’ dalam membicarakan ketiga-tiga konsep tersebut. Perkataan ini juga digunakan oleh ILO untuk
membicarakan buruh kanak-kanak secara umum tetapi bukan merujuk kepada konsep
buruh kanak-kanak tersebut. Begitu juga di dalam artikel ini, penulis masih
menggunakan perkataan buruh kanak-kanak secara umum manakala dari segi konsep
pula penulis hanya menggunakan konsep buruh kanak-kanak dan kerja bahaya yang
dilakukan oleh buruh kanak-kanak kerana dilihat ia selari dengan takrifan
konsep yang diberikan oleh ILO dengan keterlibatan kanak-kanak dalam sektor
perkilangan pada abad ke-19 semasa kemuncak perkembangan kapitalis.
Epistemologi Perkaitan
Kapitalis dan Buruh Kanak-Kanak
Buruh
kanak-kanak sejarahnya panjang, mungkin sama tuanya dengan kemuncak kapitalis
semasa revolusi perindustrian di Eropah satu ketika dahulu. Bagaimana buruh
kanak-kanak ini boleh terlibat dengan
sistem ekonomi kapitalis? Kewujudan buruh kanak-kanak dalam ekonomi kapitalis
sangat ketara bermula semasa
perkembangan revolusi perindustrian di Eropah pada tahun 1780 hingga 1840an iaitu
pada zaman Renaissance.
Merujuk
kepada sebuah artikel yang ditulis oleh Odyssey Bordoloi (2013) yang membincangkan perihal sejarah perkembangan buruh kanak-kanak, hampir 60% kanak-kanak berkerja sebagai tenaga
buruh di kilang tekstil England dan Scotland pada abad ke-19. Pada awal
revolusi perindustrian kanak-kanak hanya di upah untuk pekerjaan yang ringan
sahaja seperti menjual makanan, menjual bunga, mengilap kasut dan menjadi
pelayan di restoran.
Kemudian
apabila ekonomi Eropah berkembang pesat, kilang mulai banyak didirikan untuk
memenuhi permintaan pelanggan maka pertambahan kepada tenaga buruh meningkat. Kanak-kanak
mula diupah untuk bekerja di kilang tekstil dengan mengendalikan mesin-mesin
besar, menjadi pengutip kapas di ladang dan menajahit kain.
Eksploitasi
buruh kanak-kanak bermula apabila pihak majikan mengerah tenaga kanak-kanak
dengan upah yang murah dan tidak memadai dengan kerja mereka memandangkan kanak-kanak
merupakan golongan yang patuh dan mudah dikawal . (Budiman Rodi, 1964).
Pada
pendapat penulis eksploitasi bukan sahaja melibatkan lebihan masa bekerja dan
upah yang murah malahan melibatkan aspek
psikologi kanak- kanak yang terpaksa melakukan kerja-kerja golongan dewasa di
usia muda. Perasaan tertekan disebabkan penyakit dan kecacatan kekal yang
terpaksa diterima oleh kanak-kanak ini menunjukkan keadaan operasi kilang yang
tidak menjamin keselamatan mereka sebagai buruh kanak-kanak pada masa itu. Golongan
majikan hanya mengambil kesempatan kepada kanak-kanak atas dasar keuntungan dan
tidak menjaga kebajikan pekerja kerana yang pertama, buruh kanak-kanak tidak mempunyai
kesatuan sekerja yang boleh membela mereka apabila mengahadapi eksploitasi oleh
majikan seperti buruh dewasa yang lain dan yang kedua, konsep kapitalis itu
sendiri yang menjadikan buruh sebagai mahluk ekonomi yang perlu diamanfaatkan
sebaik mungkin untuk meningkatkan produktiviti dalam usaha mengumpul harta
kekayaan.
Hari
ini pada abad ke-21 masalah eksploitasi buruh kanak-kanak bukan sahaja
melibatkan negara-negara di Eropah tetapi termasuk juga di Afrika dan Asia
disebabkan dengan penjajahan Eropah untuk melebarkan kuasa dan pengaruh pada
zaman imperialis, mereka membawa slogan God,
Gospel and Gold dengan slogan ini idea kapitalis mula tersebar ke serata dunia.
Rekod
yang diberikan oleh ILO di dapati hampir 160 juta kanak-kanak terlibat sebagai
buruh di seluruh dunia dan 115 juta
terlibat dalam pekerjaan bahaya. Contohnya di negara India mencatatkan antara
2007 hingga tahun 2009 , 5392 kes melibatkan eksploitasi terhadap buruh
kanak-kanak, hanya enam kes yang dibicarakan mengikut undang-undang. ( The
Times of India, Edisi Kolkata , Isnin,
25 Januari, 2010)
Hal
ini menunjukkan dengan jelas melalui perkembangan ekonomi kapitalis ke seluruh
dunia menyebabkan ia juga membawa masalah-masalah yang sedia wujud dari Eropah
ke seluruh dunia termasuk masalah eksploitasi buruh kanak-kanak. Bagi
mendapatkan gambaran yang lebih terperinci, penulis menyertakan jadual yang
dilaporkan oleh ILO mengenai kanak-kanak yang di upah sebagai buruh di
kawasan-kawasana tertentu dunia pada tahun 2012.
Kanak-kanak dalam pekerjaan, buruh
kanak-kanak dan pekerjaan berisiko mengikut kawasan dibawah kumpulan umur
5-17 tahun, 2012
|
*Kawasan
|
(‘000)
%
|
(‘000)
%
|
(‘000)
%
|
Asia
Pasifik
|
129, 358
(15.5 %)
|
77, 723
(9.3%)
|
|
Amerika
Latin
|
17,843 (12.5%)
|
|
|
Afrika
|
83,570 (30.3%)
|
|
|
Timur
tengah dan Afika Utara
|
13,307 (12.1%)
|
|
5,224
(4.7%)
|
Nota: (*) kawasan ini tidak meliputi kawasan
keseluruhan negara-negara dunia kerana negara-negara tersebut termasuk di luar
empat kawasan utama yang dilaporkan
dengan ILO.
Sumber
: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)
Merujuk
kepada jadual, negara di benua Asia mencatatkan
kawasan tertinggi yang dilaporkan mengupah kanak-kanak sebagai buruh, diikuti
dikawasan Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah. Jika dilihat negara-negara
yang berada di kawasan tersebut terdiri daripada negara-negara membangun dan
mundur
serta mempunyai ekonomi yang kurang stabil. Hal ini berkait rapat dengan sistem
ekonomi dunia yang menyebabkan negara-negara di dunia dibahagikan di dalam
kelas-kelas tertentu mengikut perkembangan ekonomi.
Sehubungan dengan itu, negara-negara maju mengambil kesempatan terhadap
negara-negara ini melalui syarikat multinasionalnya yang memilih untuk
menggunakan buruh kanak-kanak di negara-negara membangun dan mundur kerana upah
yang murah, kemiskinan dan tahap kesedaran yang rendah daripada ibu bapa
terhadap eksploitasi majikan kepada buruh kanak-kanak. Maka tidak hairanlah eksploitasi
buruh kanak-kanak banyak dilaporkan di negara-negara sedang membangun dan
mundur.
Sehubungan
dengan itu, dalam menangani masalah eksploitasi buruh kanak-kanak yang kian
merebak, pada 12 Jun tahun lepas Presiden Amerika Syarikat pelopor ekonomi kapitalis
dunia memberi janji dengan membelanjakan $60 juta untuk penghapusan masalah
buruh kanak-kanak ketika meraikan Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia.
Jika diteliti masalah ini menjadi semakin rumit kerana masalah pokok dalam
sistem ekonomi kapitalis itu sendiri tidak diperbaiki jadi agak sukar untuk
menghapuskan masalah ranting seperti buruh kanak-kanak ini walaupun berjuta-juta
dollar duit dihabiskan untuk memperuntukkan penghapusan masalah ini. Selagi pandangan sarwa Barat melihat manusia
hanya sebagai mahluk ekonomi yang boleh digunakan untuk mendapatkan keuntungan
maka penghapusan secara total buruh kanak-kanak akan gagal dicapai seperti yang
diharapkan oleh ILO pada tahun 2016.
Kapitalis dan Buruh
Kanak-Kanak dalam Tasawur Islam
Dalam
tasawur Islam ekonomi adalah sebahagian daripada agama. Pelaku-pelaku di dalam
ekonomi adalah manusia, manusia mempunyai hubungan dengan Allah (habluminallah)
iaitu manusia adalah hamba Allah manakala dalam konteks hubungan manusia dengan
manusia dan sumber alam (habluminannas) , manusia adalah khalifah Allah s.w.t yang menjalankan ekonomi mengikut hukum yang
ditetapkan Allah (Muhammad Syukri, 2003). Konsep ekonomi kapitalis sememangnya
bercanggah dengan ajaran dan prinsip Islam kerana ia hanya mengutamakan
pengumpulan harta tanpa memikirkan soal hak manusia, hak alam sekitar dan lebih
utama tanggungjawab mereka sebagai hamba kepada tuhan.
Oleh
yang demikian, agama Islam mengutamakan keadilan dan kasih sayang yang berteraskan iman dan takwa berdasarkan
hubungan dengan Allah, manusia dan sumber alam.
Begitu juga halnya hubungan majikan dengan buruh (habluminannas), agama ini tetap memberikan rahmatnya terhadap buruh
kanak-kanak dan Rasulullah s.a.w telah menjanjikan dengan sebuah rumah khas di
dalam syurga bagi orang-orang yang dapat memberikan rasa keseronokan kepada
buruh kanak-kanak ( Labib, tahun 1986).
Namun
demikian Islam melarang buruh kanak-kanak dieksploitasi berdasarkan Kitab
al-Fatawa al-Hindiyyah ketika mengulas tentang perbuatan memukul buruh
kanak-kanak telah menyebut: “adalah tidak harus bagi seorang pemodal memukul
seorang buruh kanak-kanak”. Oleh itu kanak-kanak perlulah dilayan dengan
sebaiknya walaupun dia merupakan buruh yang mungkin tidak melakukan kerja-kerja
yang penting dan besar.
Islam
tidak melarang perburuhan kanak-kanak selagi syarat-syarat dan prinsip Islam
dipatuhi. Contohnya seperti memberi upah yang setimpal kepada buruh kanak-kanak,
memberi pekerjaan yang sesuai mengikut kemampuannya, meminta izin penjaga kanak-kanak tersebut untuk
bekerja, boleh membatalkan perjanjian kontrak kerja ketika mencapai umur
baligh, tidak boleh dipertangungjawabkan ke atas kerosakan barangan semasa
dalam tempoh pekerjaan dan sebagainya.
Pada
hemat penulis berdasarkan realiti dunia hari ini yang didominasi sistem ekonomi
kapitalis, buruh kanak-kanak adalah satu masalah yang tidak dapat dielakkan
kerana faktor kemiskinan atau kanak-kanak yang hilang pergantungan disebabkan
yatim. Walaubagaimanapun, Islam bukanlah menggalakkan perburuhan kanak-kanak,
kerana Islam telah menetapkan hak kanak-kanak yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa
atau penjaganya. Islam juga telah menggariskan penjagaan anak adalah amanah
kepada ibu bapa, mereka pula tidak boleh mengambil kesempatan di atas keharusan
perburuhan kanak-kanak di dalam Islam dengan melepaskan tangungjawab mendidik
dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan rasa tangungjawab.
KESIMPULAN
Kesimpulannya,
sistem ekonomi kapitalis sangat berhubungkait dengan buruh kanak-kanak yang
akhirnya menimbulkan pelbagai masalah sampingan daripada sistem yang
matlamatnya untuk mendapat kekayaan semata-mata. Islam meletakkan satu garis
panduan kepada majikan untuk dipatuhi dan natijahnya berbalik kepada balasan
pahala atau dosa. Di sebalik kesan
tersebut manusia akan berusaha untuk taat dan patuh suruhan agama supaya
memberi kesan yang baik pada kehidupan selepas mati. Hal ini secara tidak
langsung menyebabkan manusia iaitu majikan akan memenuhi keperluan pekerja
selaras dengan syariat Islam. Islam tidak mengharamkan kanak-kanak di upah
sebagai buruh tetapi bukanlah Islam menggalakkan perburuhan kanak-kanak. Islam
menggariskan panduan penjagaan
kanak-kanak dalam Islam dengan baik supaya tiada seorangpun kanak-kanak boleh
di eksploitasi sama ada mereka menjadi buruh atau tidak. Islam bukan hanya satu agama tapi satu cara
hidup yang membawa manusia kembali kepada fitrah kehidupan yang baik. Jika Karl
Marx mengatakan agama sebagai candu , Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w ini
sebagai herba yang diminum bukan ketika sakit tetapi untuk mengekalkan
kesihatan dan menjadi penawar kepada ketagih candu.
“Katakanlah
: Sesungguhnya petunujuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk, dan kita
disuruh agar menyerahkan diri kepada tuhan semesta alam.” (surah al-An’am ,
6:71)
Bibliografi
1.Abdul
Rahman Embong(2003).Syarahan Perdana
Jawatan Profesor Universiti Kebangsaan
Malaysia: Pembangunan dan Kesejahteraan (Agenda Kemanusiaan Abad Ke –
21).Selangor.Universiti kebangsaan Malaysia.
2.Budiman
Rodi (1964).Buruh dalam Islam.Kelantan.Pustaka
Aman.
3.Dedi
Haryadi & Indrasari (1995).Buruh anak
dan dinamika industri kecil.Bandung. Yayasan Akatiga.
4.Hayek
(1963).Capitalism and the Historians.Amerika.First
Phoenix.
5.Labib
(1986).Pekerjaan dan kaum buruh.Kaherah.Hizbi.
6.KH.
Abdullah Zaky Al Kaaf (2002).Ekonomi dalam perspektif Islam.Bandung. C.V
Pustaka Setia.
7.Muhammad
Syukri Salleh(2003). Tujuh prinsip
pembangunan berteraskan Islam.Kuala Lumpur.Zebra Edition Sdn. Bhd.